Friday, November 19, 2010

Our true love story {CST Production}

Dua hati yang terjalin di antara aku dan dia, bukan melalui satu pertemuan tetapi melalui keyakinan dan ketulusan hati masing-masing. Dia adalah teman satu kelas, juga satu sekolah semasa darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Tun Dr Syed Nasir. Dia berpindah ke sekolah ini semasa kami di darjah 5. Dia adalah seorang pelajar yang unik kerana ketinggiannya, dia lebih tinggi dari kami semua, dan kerana itu juga aku tidak terfikir bahawa aku dan dia akan menjadi pasangan cinta kerana aku sangat rendah pada waktu itu! Hehe.

Dia sangat suka mengusik aku pada waktu sekolah dulu, suka senyum denganku, dan aku juga senang berkawan dengannya kerana dia seorang yang baik, walaupun dia agak nakal. Nakal seperti pelajar dulu tau, bukan nakal seperti pelajar sekarang. ;-) Aku tidak tahu dia mempunyai perasaan denganku sehinggalah seorang rakanku memberitahu aku. Aku agak terkejut tapi aku tidak mengambil pusing hal itu. Bagi aku, mungkin dia sukakan aku sebab aku baik dengannya. Aku tidak suka mempunyai komitmen cinta semasa waktu belajar. Nak tahu sebab apa? Sebab atuk aku sangat-sangat mengambil berat hal ini. Mampus kalau dia tahu aku bercinta di sekolah, huhu.

Ada dua perkara yang aku tak akan lupa, yakni kenangan kami di sekolah rendah, pertama; semasa aku sedang menunggu emak aku mengambil aku dari sekolah agama. Sedang aku menunggu di depan rumah penduduk felda di situ, tiba-tiba lalu sebuah motor dan aky terdengar suara memanggil aku.
"Wanee!" Aku melihat dia memandangku sambil tersenyum dan menunjukkan jari di tangan kanannya, mengatakan 'Saya suka awak!'. Huh? Aku terkejut tetapi aku buat dek saja. Sebab aku blur dan ia membuatkan aku berfikir, seriuskah dia ini? Aku tak tahu samada benar dia menyukai aku atau tidak..huhu. Aku hanya mengerutkan muka dan tersenyum. Esoknya di sekolah, kami hanya buat tidak tahu dan terus terlupa hal semalam. Tetapi aku masih ingat kenangan itu sampai sekarang kerana buat pertama kalinya seorang budak lelaki menyatakan perasaan suka kepadaku terang-terangan! ;-)

Kedua; ketika kami selesai membuat latihan di kelas dan seperti biasa, pelajar-pelajar akan menukar buku masing-masing untuk menanda buku. Semasa itu, dia memberitahu aku yang dia mendapat buku aku untuk ditanda. Lalu aku terus berkata, "Nak ejan! Nak ejan!" Lalu suasana yang senyap tadi terus bertukar menjadi riuh dan satu kelas mengetawakan aku! Alamak, aku tersilap cakap, sebenarnya aku nak cakap yang aku nak buku dia! Aduhh..hanya tuhan yang tahu..merah padam muka aku pada waktu itu, haha. Tapi aku ini jenis yang selamba, jadi aku hanya menafikan dan buat tak tahu selepas itu. Aku pandang mukanya dan dia tersenyum memandangku. Aku cakap dalam hati, "Sukalah tu. Hmm betul ke dia suka aku?" Entahlah, no comment. Jadi hanya dua kenangan ini sahaja yang masih tersemat dalam ingatan aku. Bila aku kenang semula, aku akan tersenyum sendirian. Berangan orang kata, haha.

Kemudian di tingkatan satu, kami bertukar ke Sekolah Menengah Tun Habab. Kami mendapat di sekolah yang sama, tetapi berlainan kelas. Kami tidak bertegur sapa, hanya tersenyum bila berjumpa, mungkin sudah berlainan kelas, kami jarang berbual. Tidak lama kemudian, aku dengar dia sudah berpindah sekolah. Aku tidak tahu ke sekolah mana dan aku juga tidak bertanya. Dia pun tidak memberitahu aku. Semasa di tingkatan empat, kami bertemu semula di sebuah sekolah di Sedili semasa menyertai Pertandingan Sains dan Matematik. Tapi kami tidak berbual panjang, cuma berbual sebentar dan dia memperkenalkan aku dengan rakan-rakannya. Kemudian kami terpisah lagi, tidak tahu cerita masing-masing sehinggalah di zaman menara gading. 

Aku belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dia di Universiti Tun Hussien Onn (UTHM). Kami bertemu di Friendster. Dia add aku, kami bertanya khabar dan bertukar-tukar nombor telefon, tetapi kami tidak saling menghubungi. Dia suka telefon aku kerana suka nak berbual dan bercerita. Tetapi aku lain, pada waktu itu, aku tidak suka mana-mana lelaki menelefon aku sekadar hanya ingin berbual. Aku hanya menumpukan perhatian kepada belajar pada waktu itu dan tidak mahu mempunyai komitmen cinta. Walaupun aku tahu dia tidak mempunyai niat sebegitu, tetapi aku pernah tahu yang dia pernah menyukai aku semasa di sekolah. Oh tidak...aku tak bisa..haha. Lagi-lagi apabila aku mengetahui yang dia sudah mempunyai teman wanita pada waku itu, lagilah aku tidak mahu. Aku buat-buat tidak layan dan akhirnya dia senyap begitu saja. Kononnya tidak mahu mengganggu hubungan itu, tapi sungguh, benar! Aku tidak suka berbual mesra dengan lelaki yang sudah berpunya, walaupun dia rakan sekolah aku dahulu. Haha. Jahatkah aku?

Pada suatu hari, aku pergi ke Lowyat, KL bersama rakan sebilik di UKM. Aku masuk ke satu kedai dan membelek-belek barang di situ. Selepas itu aku memandang belakang kerana rakanku memanggil, dan ketika itulah aku terpandang wajah si dia di sebalik lalu lalang orang ramai yang penuh sesak di lowyat. Dan pada waktu yang sama, dia juga memandang aku! Kami memandang antara satu sama lain dengan perasaan tergamam dan berkata dalam hati, betul ke dia? Aku seperti tidak mahu pergi kepadanya kerana rasa serba salah disebabkan apa yang aku telah lakukan padanya, tapi aku tidak sampai hati. Aku kena pergi, at least bertanya sapa. Aku pergi ke arahnya dan aku melihat seorang perempuan di sebelahnya. "Oh inilah girl friend dia.." aku berkata dalam hati. Kami hanya bertanya khabar sebentar dan pulang selepas itu.

Semasa aku sedang menunggu bas di stesen kajang untuk ke UKM, dia menelefon aku dan kami berborak. Aku bertanyakan tentang perempuan yang bersamanya tadi tetapi dia hanya memberitahu aku yang perempuan itu adalah kawannya sahaja. Aku pun tidak tahu mengapa dia tak mahu berterus terang denganku, namun aku tak kisah. Aku pun tidak suka memaksa. Full stop. 

Kami tidak berhubung lagi selepas itu, pada pertengahan 2006, sehinggalah tamat pengajian di universiti pada bulan Mei 2007. Sebulan aku menganggur di rumah dan dia menghubungi aku lagi selepas itu. Pada waktu itu aku berborak dengannya dan dia bercerita denganku tentang dirinya. Dia sudah single disebabkan hal tertentu, bukan sebab aku tau. Hehe. Aku terus membalas mesej dengannya selepas itu. Kami terus berhubung dan berkawan sebagai teman tapi mesra. Aku senang dengan sifat penyayangnya dan suka mengambil berat.

Tanggal 11 Julai 2007, ketika aku sedang menunggu makanan yang dipesan bungkus selepas pulang dari kerja, aku berbalas mesej dengannya. Aku tahu dia suka pada aku tetapi aku lebih suka bersikap buat tak tahu. Aku mahu dia berterus terang denganku. Kami berborak tentang panggilan diri untuk pasangan yang bercinta. Aku kata, aku suka abi dan umi. Dia kata dia pun suka, lalu bertanya padaku jika kami membahasakan panggilan seperti itu. Aku dan dia bermain teka teki. Aku kata tidak boleh sebab kami tidak seperti pasangan bercinta. Dia bertanya padaku jika kami boleh menjadi pasangan bercinta. Aku terdiam dan terkejut. Aku bertanya kepadanya semula dan dia kata, betul, dia serius. Aku berfikir sejenak dan memberitahunya aku akan memberikannya jawapan selepas waktu maghrib nanti.

Pada waktu maghrib itu, aku buat solat hajat dan berdoa pada Allah agar memberikan aku petunjuk dan ketenangan hati. Benarkah dia yang aku cari selama ini? Aku tidak tahu dan yang aku tahu, aku bukan seorang yang cerewet atau 'high taste' untuk memilih pasangan. Aku menelefon mamaku dan akhirnya aku tekad. Aku menelefonnya.

"Awak, saya terima", beritahuku sambil tersenyum dengan perasaan yang 'nervous'. Aku menarik nafas dan berkata pada diri sendiri, "Betulkah apa yang aku buat ini?" Aku rasa sungguh pantas! Aku tidak terdesak untuk bercinta, namun itulah yang dikatakan seruan jodoh dan sudah tiba masanya. Sesungguhnya aku berserah pada-Mu Ya Allah, jika benar dia yang ditakdirkan untuk aku, aku redha dan aku mencintainya kerana cinta aku kepada-Mu Ya Allah. Perasaan aku sungguh tenang selepas itu. Alhamdulillah.

Pada bulan Mac 2009, selepas hari lahir aku, dia telah memberi aku satu surat. Macam orang dulu-dulu pula kan? Hehe, I like! Aku masih simpan surat itu dan di surat itulah dia mengatakan hasrat untuk mengambil aku sebagai suri hidupnya. Aku menangis membaca surat itu kerana ayatnya sungguh menyentuh perasaanku. Ingin sekali aku paparkan di sini, namun surat itu tiada padaku pada waktu ini. Aku di kampung ketika ini dan surat itu di rumah sewa aku di KL. Akan aku paparkan juga suatu hari selepas kami berkahwin nanti. ;-)

Hubungan kami sama juga seperti pasangan yang lain, ada manis dan ada pahitnya. Yang paling pahit adalah ketika bekas teman wanitanya masih menghubungi dia. Aku tahu mengapa dan sebabnya boleh diterima, namun aku tidak boleh menerima. Seperti ada sesuatu yang menyucuk-nyucuk di lubuk hati. Aku cemburu. Itu aku, haha. Namun Alhamdulillah, kami dapat menanganinya dengan bijak. Dia memujukku dengan baik dan meminta maaf denganku, walaupun aku tahu dia tak bersalah. Ini adalah salah satu sifat dia yang aku senangi. Aku lebih suka mendiamkan diri dan aku akan sejuk sendiri tak lama kemudian. Aku juga turut meminta maaf dengannya di atas sifat cemburuku dan dia faham. Aku sangat sayang padanya!

Dia yang aku cerita adalah Mohd Sahrizan Sahrudin. Hero aku. Aku sangat bersyukur mengenalinya kerana di situlah aku belajar erti cinta, erti hubungan sesama manusia dan erti perasaan rindu, kasih, cinta dan sayang. Kami saling melengkapi di antara satu sama lain, dan inilah yang menguatkan kepercayaan aku terhadap apa yang telah ditentukan oleh Yang Satu. Kami telah mengikat tali pertunangan pada 23 September 2009 dan akan bernikah pada tahun hadapan 11 Mac 2011..InsyaAllah. Doakan kami. Tempoh pertunangan kami memang lama, orang kata tidak elok, tapi alhamdulillah..hubungan kami berjalan lancar, meskipun ada orang yang cuba memporak-perandakan hubungan kami. Bagi kami, bertolak-ansur, jujur, saling memahami dan berbincang adalah perkara yang sangat penting dalam satu hubungan.

Ya Allah, Kau permudahkanlah dan kekalkanlah hubungan cinta kami Ya Allah. Kami bercinta kerana cinta kami kepada-Mu Ya Allah. Mekarkanlah cinta, rindu, kasih dan sayang kami Ya Allah. Tetapkanlah hati kami dan janganlah palingkan hati kami kepada yang lain melainkan kami sahaja Ya Allah. Engkau jua Ya Allah, yang Maha Pemurah, Mengetahui dan Maha Mengasihi.



6 comments:

cik mas said...

dear..berpinar2 mata ni hah nk habehkan entry best kamoo...heheh...best kan...x sgka cinta monyet bhgia hgga skrg...hrp2 hgga akhir hayat....jaga hbgn baik2 dear.. :)

RohaniHashim said...

hye wanee,

just to let u know that ministry of moment pun tgh buat contest. winner gets a photography package worth RM2,000. Jemput join ya? Contest details di blog roe :)

anyway, all the best with the CST contest yeah babe? ;)

:: wanee :: said...

hi permysuri hati..ni cik mas kan? hihi..thanks sebab sudi membaca cerita sy sampai berpinar mata..hihi. Kamu pun sama..jaga hubungan baik2.;-) Doakan kami ye. Thanks dear!

:: wanee :: said...

hi Roe, thanks for the info! Appreciate it! Nnti sy tgk contest tuh, thanks eh.;-) For CST ni, sesaja je cuba2, first time join actually, i know ramai lagi yg lagi hebat..huhu. Kalo dpt Alhamdulillah..;-)

CIK AYU ARIFFIN said...

cite kita sama la..encik bf sy adalah kwn sekelas dri darjah 5..amat2 benci dia..tp tu dulu..hahahaha..berjumpa pas 10 tahun..skrang hampir 2 tahun kapel :)

:: wanee :: said...

ayu, hehe..eh sama la gitu..tunang sy ni pun sekelas dari darjah 5 sbenarnya. Tp sy xdala benci dia..hehe..cuma tak couple jek. Hehe..alhamdulillah..jaga hubungan bebaik k. ;)

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com - Header made with PS brushes by gvalkyrie.deviantart.com
Sponsored by Free Web Space